Kerajaan tidak sokong hasrat Pas -
Pas Mahu Menentang Amerika Syarikat
dengan berjihad bersama Taliban -
KUALA LUMPUR, Jumaat – Kerajaan berpendapat
hasrat ahli Pas ingin ke Afghanistan untuk berperang bersama militan Taliban
menentang Amerika Syarikat, sebagai tindakan membuang masa.
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun ahli Pas yang mahu berbuat
demikian tidak akan dihalang, pada masa yang sama kerajaan tetap tidak
menyokong tindakan mereka.
“Jika mereka ingat mereka hendak pergi, mereka boleh pergi dan kita tidak
menghalang mereka tetapi kita tidak menyokong mereka... saya rasa mereka hanya
membuang masa mereka,” katanya selepas merasmikan Persidangan Menteri
Pelancongan Islam kedua, hari ini.
Setiausaha Agung Pas, Nasharuddin Mat Isa Rabu lalu berkata, parti itu telah
mengisytiharkan jihad menentang Amerika dan memberikan lampu hijau bagi
penyokongnya pergi ke Afghanistan berperang bersama Taliban.
Ditanya sama ada keputusan Pas itu akan merumitkan lagi keadaan, Dr Mahathir
berkata: “Mereka berhak melakukan jihad tetapi saya tidak fikir ada yang
akan akan menyahut seruan itu.”
Ketika menjawab soalan sama ada Pas melalui tindakannya itu membuktikan ia
parti ekstremis, Perdana Menteri berkata itu adalah usaha mereka untuk
memancing undi.
“Pas sedang cuba memancing undi dengan menonjolkan diri sebagai amat fanatik
mengenai usaha mempertahankan Islam tetapi Pas sebenarnya telah merosakkan
Islam dengan memecah-belahkan orang Islam di negara ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata, apa yang dilakukan oleh Pas selama ini hanyalah
melemahkan umat Islam di negara ini.
“Mereka telah melemahkan kita... itu saja yang mereka telah lakukan. Mereka
tidak melakukan apa-apa untuk Islam,” katanya.